Saturday 3 May 2014

Kaedah pembelajaran sambil bekerja

SEREMBAN 22 April - Dasar keterbukaan dalam pembelajarannya menjadikan Open University Malaysia (OUM) sebagai pilihan terbaik bagi pelbagai peringkat usia dan kerjaya untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan, Mazuin Omar berkata, corak pembelajaran yang fleksibel telah menarik minat pelbagai golongan, sama ada yang bekerja, sudah berusia mahupun generasi belia melanjutkan pelajaran di universiti itu.

"OUM menawarkan pembelajaran yang efektif tanpa menjejaskan pekerjaan harian penuntutnya. Malah, ia kini menjadi pilihan kepada orang ramai kerana kepelbagaian kursus yang ditawarkan selain rebat menarik sebanyak 40 peratus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru katanya, dengan program peringkat diploma, ijazah dan sarjana, OUM menyediakan kaedah kemasukan secara biasa dan fleksibel bagi membolehkan semua pihak berpeluang untuk belajar, sejajar dengan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ini.

"Kita (OUM) membuka peluang kepada semua golongan bekerja melanjutkan pelajaran di OUM ini dan kami amat menitik beratkan soal pengembangan ilmu ini, apatah lagi Negeri Sembilan ini dikenali sebagai
Lembah Ilmu. Maka, OUM ini juga adalah pusat melahirkan insan berilmu," ujarnya.

Sehubungan itu katanya Mazuin berkata, bagi menggalakkan orang ramai memperkasakan ilmu dan mengambil konsep PSH berkenaan, OUM Negeri Sembilan akan mengadakan Karnival Pendidikan pada

Sabtu ini di perkarangan pusat pembelajarannya di Jalan Dato' Bandar Tunggal, di sini bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

"Karnival ini bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan kaedah ‘Belajar Sambil Bekerja’ menerusi pengajian jarak jauh sekali gus membuka peluang untuk mereka menyertai program akademik yang ditawarkan di OUM.

"Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan ini menawarkan 24 program pengajian dan antaranya ialah Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Komunikasi, Psikologi, Pentadbiran Perniagaan, Pengajian Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sumber Manusia, Bahasa Inggeris dan lain-lain di peringkat diploma, ijazah dan sarjana," ujar Mazuin.

Katanya, selain itu juga bagi pelajar yang hendak mengikuti program pengajian, bantuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengeluaran melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat selepas syarat dipenuhi.

Dalam pada itu, sempena karnival yang berlangsung ini juga, orang ramai berpeluang menyertai aktiviti yang dikendalikan kakitangan universiti termasuklah penjelasan program pendidikan yang ditawarkan, seminar, bengkel motivasi serta gerai jualan.

"Orang ramai dijemput datang pada Sabtu ini terutamanya mereka yang bekerja untuk mengetahui dengan lebih dekat konsep pembelajaran yang ditawarkan. Mereka boleh hubungi kami di talian 06-7611003, 06-7637252 atau 06-7637253 untuk pertanyaan," katanya.

No comments:

Post a Comment