Saturday 3 May 2014

Antara cuaca & alam


DUNIA dikejutkan dengan peristiwa ribut matahari yang berlaku awal tahun ini. Namun sekali lagi pada Khamis lepas kejadian itu berulang dan dikatakan antara yang paling kuat dalam tempoh enam tahun.

Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari dan seterusnya mengakibatkan letusan.

Kesan radiasi akibat letusan tersebut akan menghentam Bumi dengan tiga kesan yang berbeza dalam tempoh yang berlainan. Ia akan menyebabkan gangguan kepada satelit dan angkasawan yang berada di angkasa lepas. 

Selain itu ia juga akan mengakibatkan gangguan komunikasi untuk kapal terbang yang sedang melakukan penerbangan.

Ribut suria juga boleh menghasilkan cahaya utara ataupun aurora yang menakjubkan di langit sehingga jauh ke selatan dan bahagian utara hemisfera Bumi. Jika berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga akan dipantau.

Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi, ia mengakibatkan ribut geomagnetik. Ribut matahari biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa.

Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan.

Kain bertindak penjana elektrik

SEOUL 2 Mei - Sekumpulan saintis Korea Selatan berjaya menghasilkan teknologi yang mampu mengecas bateri telefon pintar daripada haba badan manusia.

Portal berita Daily Mail melaporkan, saintis dari Universiti Teknologi dan Sains Lanjutan Korea (KAIST) itu mencipta sejenis alat pengecas yang diperbuat daripada kain yang berfungsi sebagai ganerator untuk mengecas haba.

Profesor Byung Jin Cho, pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik mengetuai pasukannya mencipta termoelektrik (TE) penjana fleksibel yang membolehkan anda mengecas semula peranti elektronik daripada haba badan anda sendiri, lapor portal Daily Mail.

Teknologi ini suatu hari nanti membolehkan kuasa telefon pintar dapat dijana semula dengan hanya menggunakan haba badan.

Para saintis itu menggunakan kaca dan kain sebagai penjana termoelektrik yang boleh menjana jangka hayat baharu gajet telefon pintar.

Ketika ini kami sedang mencuba untuk menghasilkan sebuah sampel yang mampu membekalkan tenaga elektrik untuk alat pengesan perubatan.

Selepas ini generator TE akan digunakan untuk menjana tenaga telefon pintar," kata Cho.

Alat tersebut juga mampu menjana semula tenaga monitor, cermin mata pintar dan teknologi lain.

Generator termoelektrik merupakan sejenis alat yang mampu menukar haba atau keadaan suhu yang berbeza kepada kuasa elektrik.

Rabun usia muda

CERMIN mata sejak kebelakangan ini amat sinonim dengan remaja. Ada remaja berkaca mata kerana masalah penglihatan dan ada juga yang sanggup menggunakan alat bantuan penglihatan itu demi gaya.

Apa yang pasti jumlah golongan muda yang mengalami masalah penglihatan atau rabun semakin hari semakin meningkat.

Antara faktor yang boleh dikaitkan kepada masalah tersebut adalah gaya hidup dan kurangnya kesedaran dalam penjagaan mata sejak dari kecil.

Justeru bagi mendapat gambaran lebih jelas, .com menemui beberapa pengguna cermin mata yang menghadapi masalah penglihatan,

Kebanyakan mereka menghadapai masalah rabun sama ada jauh atau pun dekat.

Berdasarkan fakta saintifik, rabun jauh berlaku apabila bebola mata lebih besar dan panjang berbanding normal.

Manakala, rabun dekat pula berpunca daripada proses pengerasan kapsul mata yang hilang keupayaan mengendur untuk menjadikan kanta mata lebih cembung, sekali gus mengurangkan kemampuan untuk melihat secara dekat.

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa masalah rabun tidak ada kena mengena dengan penyakit katarak.
Selain itu, .com turut mendapatkan pandangan beberapa remaja yang menggunakan cermin mata demi gaya.

Biarpun terpaksa mengeluarkan sedikit wang, namun mereka gembira kerana imej yang diinginkan berjaya dibentuk hanya dengan memakai cermin mata. - DHIYA'ZULHILMI DAUD/WAHIDAH ZAINAL

Kaedah pembelajaran sambil bekerja

SEREMBAN 22 April - Dasar keterbukaan dalam pembelajarannya menjadikan Open University Malaysia (OUM) sebagai pilihan terbaik bagi pelbagai peringkat usia dan kerjaya untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan, Mazuin Omar berkata, corak pembelajaran yang fleksibel telah menarik minat pelbagai golongan, sama ada yang bekerja, sudah berusia mahupun generasi belia melanjutkan pelajaran di universiti itu.

"OUM menawarkan pembelajaran yang efektif tanpa menjejaskan pekerjaan harian penuntutnya. Malah, ia kini menjadi pilihan kepada orang ramai kerana kepelbagaian kursus yang ditawarkan selain rebat menarik sebanyak 40 peratus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru katanya, dengan program peringkat diploma, ijazah dan sarjana, OUM menyediakan kaedah kemasukan secara biasa dan fleksibel bagi membolehkan semua pihak berpeluang untuk belajar, sejajar dengan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ini.

"Kita (OUM) membuka peluang kepada semua golongan bekerja melanjutkan pelajaran di OUM ini dan kami amat menitik beratkan soal pengembangan ilmu ini, apatah lagi Negeri Sembilan ini dikenali sebagai
Lembah Ilmu. Maka, OUM ini juga adalah pusat melahirkan insan berilmu," ujarnya.

Sehubungan itu katanya Mazuin berkata, bagi menggalakkan orang ramai memperkasakan ilmu dan mengambil konsep PSH berkenaan, OUM Negeri Sembilan akan mengadakan Karnival Pendidikan pada

Sabtu ini di perkarangan pusat pembelajarannya di Jalan Dato' Bandar Tunggal, di sini bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

"Karnival ini bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan kaedah ‘Belajar Sambil Bekerja’ menerusi pengajian jarak jauh sekali gus membuka peluang untuk mereka menyertai program akademik yang ditawarkan di OUM.

"Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan ini menawarkan 24 program pengajian dan antaranya ialah Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Komunikasi, Psikologi, Pentadbiran Perniagaan, Pengajian Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sumber Manusia, Bahasa Inggeris dan lain-lain di peringkat diploma, ijazah dan sarjana," ujar Mazuin.

Katanya, selain itu juga bagi pelajar yang hendak mengikuti program pengajian, bantuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengeluaran melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat selepas syarat dipenuhi.

Dalam pada itu, sempena karnival yang berlangsung ini juga, orang ramai berpeluang menyertai aktiviti yang dikendalikan kakitangan universiti termasuklah penjelasan program pendidikan yang ditawarkan, seminar, bengkel motivasi serta gerai jualan.

"Orang ramai dijemput datang pada Sabtu ini terutamanya mereka yang bekerja untuk mengetahui dengan lebih dekat konsep pembelajaran yang ditawarkan. Mereka boleh hubungi kami di talian 06-7611003, 06-7637252 atau 06-7637253 untuk pertanyaan," katanya.