Saturday 3 May 2014

Antara cuaca & alam


DUNIA dikejutkan dengan peristiwa ribut matahari yang berlaku awal tahun ini. Namun sekali lagi pada Khamis lepas kejadian itu berulang dan dikatakan antara yang paling kuat dalam tempoh enam tahun.

Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari dan seterusnya mengakibatkan letusan.

Kesan radiasi akibat letusan tersebut akan menghentam Bumi dengan tiga kesan yang berbeza dalam tempoh yang berlainan. Ia akan menyebabkan gangguan kepada satelit dan angkasawan yang berada di angkasa lepas. 

Selain itu ia juga akan mengakibatkan gangguan komunikasi untuk kapal terbang yang sedang melakukan penerbangan.

Ribut suria juga boleh menghasilkan cahaya utara ataupun aurora yang menakjubkan di langit sehingga jauh ke selatan dan bahagian utara hemisfera Bumi. Jika berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga akan dipantau.

Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi, ia mengakibatkan ribut geomagnetik. Ribut matahari biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa.

Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan.

Kain bertindak penjana elektrik

SEOUL 2 Mei - Sekumpulan saintis Korea Selatan berjaya menghasilkan teknologi yang mampu mengecas bateri telefon pintar daripada haba badan manusia.

Portal berita Daily Mail melaporkan, saintis dari Universiti Teknologi dan Sains Lanjutan Korea (KAIST) itu mencipta sejenis alat pengecas yang diperbuat daripada kain yang berfungsi sebagai ganerator untuk mengecas haba.

Profesor Byung Jin Cho, pakar dalam bidang kejuruteraan elektrik mengetuai pasukannya mencipta termoelektrik (TE) penjana fleksibel yang membolehkan anda mengecas semula peranti elektronik daripada haba badan anda sendiri, lapor portal Daily Mail.

Teknologi ini suatu hari nanti membolehkan kuasa telefon pintar dapat dijana semula dengan hanya menggunakan haba badan.

Para saintis itu menggunakan kaca dan kain sebagai penjana termoelektrik yang boleh menjana jangka hayat baharu gajet telefon pintar.

Ketika ini kami sedang mencuba untuk menghasilkan sebuah sampel yang mampu membekalkan tenaga elektrik untuk alat pengesan perubatan.

Selepas ini generator TE akan digunakan untuk menjana tenaga telefon pintar," kata Cho.

Alat tersebut juga mampu menjana semula tenaga monitor, cermin mata pintar dan teknologi lain.

Generator termoelektrik merupakan sejenis alat yang mampu menukar haba atau keadaan suhu yang berbeza kepada kuasa elektrik.

Rabun usia muda

CERMIN mata sejak kebelakangan ini amat sinonim dengan remaja. Ada remaja berkaca mata kerana masalah penglihatan dan ada juga yang sanggup menggunakan alat bantuan penglihatan itu demi gaya.

Apa yang pasti jumlah golongan muda yang mengalami masalah penglihatan atau rabun semakin hari semakin meningkat.

Antara faktor yang boleh dikaitkan kepada masalah tersebut adalah gaya hidup dan kurangnya kesedaran dalam penjagaan mata sejak dari kecil.

Justeru bagi mendapat gambaran lebih jelas, .com menemui beberapa pengguna cermin mata yang menghadapi masalah penglihatan,

Kebanyakan mereka menghadapai masalah rabun sama ada jauh atau pun dekat.

Berdasarkan fakta saintifik, rabun jauh berlaku apabila bebola mata lebih besar dan panjang berbanding normal.

Manakala, rabun dekat pula berpunca daripada proses pengerasan kapsul mata yang hilang keupayaan mengendur untuk menjadikan kanta mata lebih cembung, sekali gus mengurangkan kemampuan untuk melihat secara dekat.

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa masalah rabun tidak ada kena mengena dengan penyakit katarak.
Selain itu, .com turut mendapatkan pandangan beberapa remaja yang menggunakan cermin mata demi gaya.

Biarpun terpaksa mengeluarkan sedikit wang, namun mereka gembira kerana imej yang diinginkan berjaya dibentuk hanya dengan memakai cermin mata. - DHIYA'ZULHILMI DAUD/WAHIDAH ZAINAL

Kaedah pembelajaran sambil bekerja

SEREMBAN 22 April - Dasar keterbukaan dalam pembelajarannya menjadikan Open University Malaysia (OUM) sebagai pilihan terbaik bagi pelbagai peringkat usia dan kerjaya untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan, Mazuin Omar berkata, corak pembelajaran yang fleksibel telah menarik minat pelbagai golongan, sama ada yang bekerja, sudah berusia mahupun generasi belia melanjutkan pelajaran di universiti itu.

"OUM menawarkan pembelajaran yang efektif tanpa menjejaskan pekerjaan harian penuntutnya. Malah, ia kini menjadi pilihan kepada orang ramai kerana kepelbagaian kursus yang ditawarkan selain rebat menarik sebanyak 40 peratus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru katanya, dengan program peringkat diploma, ijazah dan sarjana, OUM menyediakan kaedah kemasukan secara biasa dan fleksibel bagi membolehkan semua pihak berpeluang untuk belajar, sejajar dengan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) ini.

"Kita (OUM) membuka peluang kepada semua golongan bekerja melanjutkan pelajaran di OUM ini dan kami amat menitik beratkan soal pengembangan ilmu ini, apatah lagi Negeri Sembilan ini dikenali sebagai
Lembah Ilmu. Maka, OUM ini juga adalah pusat melahirkan insan berilmu," ujarnya.

Sehubungan itu katanya Mazuin berkata, bagi menggalakkan orang ramai memperkasakan ilmu dan mengambil konsep PSH berkenaan, OUM Negeri Sembilan akan mengadakan Karnival Pendidikan pada

Sabtu ini di perkarangan pusat pembelajarannya di Jalan Dato' Bandar Tunggal, di sini bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

"Karnival ini bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkaitan kaedah ‘Belajar Sambil Bekerja’ menerusi pengajian jarak jauh sekali gus membuka peluang untuk mereka menyertai program akademik yang ditawarkan di OUM.

"Pusat Pembelajaran OUM Negeri Sembilan ini menawarkan 24 program pengajian dan antaranya ialah Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Komunikasi, Psikologi, Pentadbiran Perniagaan, Pengajian Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sumber Manusia, Bahasa Inggeris dan lain-lain di peringkat diploma, ijazah dan sarjana," ujar Mazuin.

Katanya, selain itu juga bagi pelajar yang hendak mengikuti program pengajian, bantuan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengeluaran melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat selepas syarat dipenuhi.

Dalam pada itu, sempena karnival yang berlangsung ini juga, orang ramai berpeluang menyertai aktiviti yang dikendalikan kakitangan universiti termasuklah penjelasan program pendidikan yang ditawarkan, seminar, bengkel motivasi serta gerai jualan.

"Orang ramai dijemput datang pada Sabtu ini terutamanya mereka yang bekerja untuk mengetahui dengan lebih dekat konsep pembelajaran yang ditawarkan. Mereka boleh hubungi kami di talian 06-7611003, 06-7637252 atau 06-7637253 untuk pertanyaan," katanya.

Monday 17 March 2014

Isu-isu semasa

Erat semangat berpasukan menerusi aktiviti sukan

JOHOR BAHRU 16 Mac - Penganjuran program atau aktiviti sukan mampu memupuk semangat kerja berpasukan lebih erat selain menanam budaya gaya hidup sihat terutamanya dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim percaya sebagai ahli keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mereka perlu memastikan kesihatan dan kecergasan pada tahap terbaik bagi menjalankan amanah yang diberikan.

“Jadi, saya berharap penganjuran aktiviti sukan seperti pertandingan bola jaring ini dapat menyumbang kepada gaya hidup lebih sihat, toleransi, kerja berpasukan dan dapat diterap dalam budaya kerja seharian.

“Selain itu, penganjuran pertandingan ini juga bagi memilih mereka yang akan mewakili kontinjen Johor dalam kejohanan Piala Ketua Polis Negara tidak lama lagi dengan membentuk pasukan yang mantap," katanya semasa menutup Pertandingan Bola Jaring Piala Ketua Polis Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), dekat sini hari ini.

Sebanyak 14 pasukan dari seluruh negeri berentap dalam kejohanan tahunan yang turut mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor dengan menghantar pengadil pada pertandingan bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

Pasukan tersebut terdiri daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara, IPD Nusajaya, IPD Kulaijaya, IPD Kota Tinggi, IPD Seri Alam dan IPD Segamat.
Selain itu, IPD Batu Pahat, IPD Muar, IPD Kluang, IPD Pontian, IPD Ledang dan IPD Mersing turut menyertai kejohanan itu.

Pada majlis tersebut, Ismail turut menyampaikan hadiah pasukan IPK Johor yang muncul juara, IPD Johor Bahru Selatan (naib juara) dan IPD Seri Alam dan Johor Bahru Utara (ketiga).

Perlu sedia hadapi krisis kewangan - Dr. M

























DR. Mahathir Mohamad (tengah) bersama Noor Mohamed Yakcop (kanan) dan Profesor Ekonomi dari University of Missouri-Kansas City, Amerika Syarikat, Prof. L. Randall Wray semasa sidang akhbar Menangani Krisis Kewangan Global Pada Masa Akan Datang di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI


KUALA LUMPUR 17 Mac - Malaysia perlu membuat persiapan dengan baik untuk berhadapan dengan krisis kewangan sekiranya berlaku pada masa akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana negara perlu mempelajari mekanisme-mekanisme tertentu untuk bertahan daripada krisis tersebut sekali gus mengurangkan impak kepada rakyat.

Malah, katanya, masalah ini juga akan dapat ditangani sekiranya negara berjaya membuat persiapan dengan baik dan teliti.

"Pada krisis kewangan yang lalu, negara terpaksa mengambil tempoh yang panjang untuk menanganinya dan pulih kerana tidak mempunyai mekanisme-mekanisme tertentu.

"Sekarang, kita perlu belajar daripada pakar-pakar ekonomi asing berdasarkan pengalaman sendiri dan memahami mekanisme-mekanisme bagi menanganinya. Pada peringkat pertama, negara perlu mempelajari secara mekanik bagaimana krisis kewangan itu berlaku.

"Saya adalah seorang bekas doktor. Jadi cara menangani masalah ini juga adalah sama seperti seorang doktor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rundingan Meja Bulat Antarabangsa Mengenai Menangani Krisis Kewangan Global Pada Masa Akan Datang di sini hari ini.

Sesi itu dianjurkan Yayasan Kepimpinan Perdana dan ditaja oleh YTL Corp. Bhd., Malaysia Airlines, Bina Puri, Westports, Ambank, UEM dan Bank Rakyat.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Pengarah Urusan Khazanah Nasional , Tan Sri Azman Mokhtar; Timbalan Pengerusi Khazanah, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim; Pengarah Urusan YTL, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik; Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony Life, Tan Sri Azman Yahya dan Pengerusi ISIS, Tan Sri Jawhar Hassan.

Hasil rundingan yang dijalankan secara tertutup itu akan diserahkan kepada kerajaan tidak lama lagi.

Tambah Dr. Mahathir, krisis kewangan akan berlaku sekiranya kuasa beli rakyat berkurangan di negara ini.

Malah, katanya, harga barang yang semakin meningkat juga boleh mencetus kepada peningkatan inflasi dan mampu menjadi punca kepada krisis kewangan.

Sementara itu, Nor Mohamed memberitahu, Malaysia sudah berada di landasan betul untuk menghadapi krisis kewangan.

Katanya, hal ini dibuktikan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berjaya mencapai sekitar lima peratus setahun.

"Kita tidak mampu mengawal krisis kewangan global daripada berlaku dan sudah tentu memberi kesan kepada negara ini," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden dan Pengasas DRPM Group (Holdings) Ltd., Dr. Karen Philippa Malmgren berkata, dunia kini menjadikan Malaysia sebagai rujukan bagi menghadapi krisis kewangan seperti mana yang berlaku pada tahun 1998 lalu.

Beliau berkata, mereka kini mengiktiraf langkah-langkah yang dilakukan oleh Malaysia dengan melihat kembali kaedah yang digunakan untuk masa depan.

MH370, apa yang disembunyikan?

ADA pihak nampaknya berpesta sakan dengan tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Bayangkan dalam tiada isu pun mereka boleh reka cipta kontroversi, inikan pula kehilangan 239 penumpang pesawat itu masih belum ada apa-apa jawapan. Yang ada hanya andaian dan teori.

Kehilangan MH370 menjadi bahan menyerang pihak berkuasa. Di pentas politik, politikus pakatan pembangkang bernafsu sekali mengulas isu ini walaupun hanya berbekalkan maklumat dengar cakap. Kebetulan pula ada pilihan raya kecil, pentas strategik untuk terus menyemarakkan rasa benci kepada kerajaan.

Untuk menghingar-bingarkan lagi keadaan, kehilangan pesawat ini dikait-kaitkan pula dengan isu rasuah, pembaziran dan kepemimpinan negara. Sungguh! Politikus cacau masih banyak di negara ini dan malangnya, dibiarkan pula untuk terus berkuasa.

Dalam media sosial, gerombolan antikerajaan tidak sedikit pun meninggalkan ruang untuk melahirkan rasa sedih, simpati dan sokongan kepada pasukan mencari dan menyelamat. Mereka memilih untuk terus mencerca dan mengecam pihak berkuasa. Entah apa yang sudah tersumbat dalam minda mereka.

Dalam menghadapi kehilangan pesawat MH370 ini, tidak pernah berlaku dalam sejarah yang menggabungkan aset, teknologi ketenteraan dan intipan serta kepakaran awam terbaik dunia dalam satu operasi intensif sebegini.

Daripada Laut China Selatan, operasi mencari dari hari ke hari diperluaskan ke Selat Melaka, Laut Andaman dan kini di kawasan seluas Lautan Hindi. Pegawai tentera dari AS sendiri mengakui kehebatan Malaysia dalam mengendalikan operasi bersama ini yang tentu sekali rumit kerana melibatkan banyak negara dan aset.

Operasi dilakukan serentak menggunakan 48 pesawat, 57 kapal dari 14 buah negara. Aset dan teknologi yang digunakan dalam operasi ini disifatkan tercanggih. Data daripada teknologi satelit, radar dan sonar di langit, darat dan laut kemudian dianalisis bersama.

Sebut apa sahaja kepakaran dan teknologi terbaik dunia yang tidak disertakan dalam misi sukar ini. Daripada negara kuasa besar Amerika Syarikat, United Kingdom sehinggalah negara jiran Vietnam bertungkus lumus tanpa jemu cuba mengesan pesawat yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
Daripada peringkat operasi awal lagi, kerajaan menegaskan demi menjejaki 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370, Malaysia bersikap terbuka dengan berkongsi maklumat radar milik Angkatan Tentera Malaysia. Walau bagaimanapun beberapa maklumat sulit ini tidak boleh dikongsi kepada umum dan digunakan untuk tujuan siasatan sahaja.

"Kami meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memantau dan memberi arahan dari semasa ke semasa. Beliau sendiri turut menangguhkan lawatan kerjanya ke Mauritius, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Mereka yang berasa kerajaan menyembunyikan sesuatu sehingga menyebabkan pesawat MH370 ini sukar ditemukan sebenarnya telah melakukan kesilapan. Mereka yang memperlekehkan keupayaan aset negara termasuk radar ketenteraan juga sepatutnya menarik balik kata-kata mereka.

Memang radar utama tentera ada mengesan objek terbang rendah merentasi Semenanjung pada pagi Sabtu itu. Tidak ada tindakan segera diambil kerana tiada ancaman keselamatan tetapi daripada maklumat itu, operasi mencari MH370 segera diperluaskan ke Selat Melaka.

Hanya semalam disahkan kepada umum bahawa objek itu ialah pesawat MH370. Pengesahan lambat dibuat kerana data itu perlu dianalisis bersama dengan data satelit yang diperoleh dari penyelia perkhidmatan. Yang penting dari segi keselamatan, objek itu tidak mengancam keselamatan.

Jadi apa yang boleh disembunyikan? Agak mustahil boleh dilakukan kerana operasi ini disertai oleh negara-negara yang kita tahu mempunyai keupayaan teknologi intipan yang begitu canggih. Lebih-lebih lagi apabila demi 227 penumpang dan 12 anak kapal MH307, Malaysia telah membuka dirinya untuk aset-aset tentera dan intipan dari negara asing.

Yang masih disembunyikan daripada terobosan teknologi ciptaan manusia ialah kedudukan sebenar pesawat ini. Selepas lapan hari, daripada analisis data satelit dan radar, dua koridor baharu dikenal pasti iaitu utara Thailand ke Kazakhstan atau selatan dari Indonesia ke Lautan Hindi. Daripada maklumat yang telah disahkan itu didapati pesawat tidak mungkin hilang di kawasan Laut China Selatan.

Sebagaimana komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia, satu hari nanti pasti MH370 akan ditemukan dan sekali gus merungkai segala misteri. Janji sudah diikrarkan bahawa operasi tidak akan dihentikan selagi pesawat ini tidak ditemui.

Tiada istilah putus asa, kecewa bahkan rasa penat ditunjukkan pihak berkuasa Malaysia untuk terus mencari MH370 walaupun menerima banyak kritikan dan kecaman. Mereka sentiasa fokus dan tahu dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Bukan sekadar mampu menggabungkan kepakaran dunia, Malaysia juga telah menggerakkan usaha untuk memohon doa dan melakukan solat hajat di surau, masjid, lapangan terbang bahkan di kapal yang menyertai misi sukar ini.

Setakat ini, kerajaan telah melakukan tugasnya dengan baik. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, wakil Jabatan Penerbangan Awam, MAS, tentera dan polis sentiasa cekal, cekap dan tenang semasa memberi gambaran kepada umum tentang insiden yang masih misteri ini.

MRSM galas peranan penting tingkat pendidikan bumiputera

 MUKAH 17 Mac - Warga pendidik dan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf pendidikan khususnya dalam kalangan bumiputera di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penubuhan MRSM merupakan salah satu usaha kerajaan untuk melahirkan pelajar bumiputera cemerlang sejak 1972.

Beliau berkata, setiap tahun, terdapat kira-kira 40,000 permohonan diterima daripada anak bumiputera untuk memasuki MRSM tetapi hanya 7,000 tempat disediakan.

Kata beliau, menjadi harapan kerajaan menerusi institusi tersebut untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam bidang akademik sekali gus melayakkan mereka memperoleh kerjaya yang baik.

"Justeru, kerajaan negeri dan Pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) menyarankan anak bumiputera di Sarawak serta kawasan pedalaman lain merebut peluang menuntut di MRSM Mukah ini dengan bersungguh-sungguh.

"Ini kerana hanya pendidikan yang mampu membantu golongan bumiputera bersaing dengan kaum lain dan berupaya melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi Sarawak dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian MRSM Mukah di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi penghargaan merasmikan MRSM Mukah yang siap dibina pada Februari 2009 dengan kos berjumlah RM80 juta.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Terdahulu, Mohd. Shafie bersama Muhyiddin mengiringi calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian menyerahkan kertas pencalonan di Dewan Suarah Mesra Mukah di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, ramai golongan bumiputera yang mendapat pendidikan tinggi di MRSM berjaya dalam pelbagai bidang seperti korporat, awam dan swasta.

Katanya, kejayaan itu harus dijadikan contoh kepada pelajar MRSM lain untuk turut sama berjaya, sekali gus membantu kerajaan mengubah nasib diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

MRSM Mukah dibuka secara rasminya pada 2010 dengan bilangan pelajar seramai 108 orang.

Kini, maktab tersebut mempunyai 533 pelajar terdiri daripada 235 lelaki dan 298 perempuan yang kebanyakannya merupakan anak penduduk tempatan Mukah.

Antara yang menjadi pelajar di situ ialah dua orang anak kepada Yussibnosh.

Taman Negara Sungai Relau

BERJALAN kaki sejauh kira-kira 1.2 kilometer dalam hutan belantara Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang amat mencabar.

Apatah lagi dengan jalan yang lecak dan licin disusuri dengan dahan serta ranting yang tumbang akibat hujan malam sebelumnya menjadikan perjalanan rombongan Program Jejak Media bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) begitu merumitkan.

Namun, cabaran tersebut menambah keseronokan kira-kira 30 peserta menghayati dan menghargai keindahan flora dan fauna ciptaan Tuhan.

Bunyi burung dan cengkerik serta angin yang mengalun lembut menyebabkan keletihan berjalan tidak terasa.
Taman Negara Sungai Relau merupakan taman negara kedua di Pahang yang menawarkan laluan alternatif kepada pendaki untuk menawan puncak Gunung Tahan.

Sebenarnya, laluan ke Gunung Tahan dari Sungai Relau lebih dekat berbanding dari Kuala Tahan.
Oleh itu, sejak pembukaannya pada 1993 untuk orang awam, pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang untuk ke sana.

Pada 2012 sahaja, kira-kira 102,000 pelancong datang ke taman negara berkenaan.

Semestinya, usaha untuk meningkatkan industri ekopelancongan memerlukan penglibatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) secara proaktif.

Oleh itu, pelbagai inisiatif yang turut membabitkan penduduk tempatan dilaksanakan untuk orang awam bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara alam semulajadi daripada pencemaran.

Penolong Penguasa Perhilitan Taman Negara Pahang, Mohd. Zulfadli Zainor berkata, antara aktiviti yang popular dalam kalangan pelancong ialah meninjau hidupan liar, safari malam menggunakan kenderaan pacuan empat roda, lawatan ke Santuari Kelah dan gua-gua batu kapur serta ‘tubing’.

Menurutnya, peminat serta pemerhati burung juga menjadikan Taman Negara Sungai Relau sebagai tempat persinggahan kerana pelbagai burung yang berhijrah sering dilihat hinggap dan tinggal sementara di kawasan hutan itu.

“Dalam taman negara ini, terdapat sebuah gua yang menjadi tempat persinggahan haiwan yang dinamakan Gua Gajah.

Selalunya, spesies haiwan itu akan berteduh secara berkumpulan dalam gua itu memandangkan ruang dalam gua yang besar. Ini disebabkan cuaca monsun di antara bulan November hingga Disember.

Gua batu kapur ini juga merupakan lokasi popular pelancong yang ingin melihat sendiri keadaan gua itu.
“Masih banyak lagi gua-gua batu kapur yang masih belum tercemar dengan pembangunan, jadi keadaan semulajadinya masih terjaga.

Ini juga salah satu faktor yang menarik minat orang awam kerana kebanyakan gua batu kapur yang ada mengalami perubahan terutama kepada bentuk asalnya,̢̢۪۪ katanya.

Perjalanan peserta program bermula dengan penjelajahan ke Gua Katak. Sinonim dengan namanya, gua tersebut merupakan kediaman pelbagai jenis katak serta hidupan air.

Stalagtit dan stalagmit yang terhasil daripada hakisan air menghasilkan bentuk batu kapur yang menarik, diserikan dengan warna dinding gua yang keperang-perangan.

Bagi peserta yang kebanyakannya pertama kali memasuki gua, aktiviti begitu menguji ketahanan fizikal dan mental.

Dengan ruang jalan yang licin serta sempit, para peserta perlu merangkak dan meniarap bagi melepasi halangan dan meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer sebelum sampai ke luar gua.

Kemudian para peserta dibawa melawat Santuari Kelah yang merupakan tempat pemuliharaan pertama yang ditubuhkan Perhilitan untuk spesies tersebut.

Selepas peserta bermain dan mengenali dengan lebih dekat haiwan itu, mereka dibawa ke Menara Bukit Seraya yang menawarkan pemandangan mengasyikkan sekitar Raman Negara.

Malah, jika cuacanya elok, pelawat mampu melihat puncak Gunung Tahan dari menara tersebut.

Disusuli pula dengan aktiviti tubing, yang memaksa para peserta merentas hutan Taman Negara sebelum sampai ke lokasi aktiviti berkenaan.

Disebabkan aktiviti tersebut memerlukan latihan dalam air, pegawai Perhilitan menerangkan satu-persatu tentang langkah keselamatan dan cara untuk menghindari kemalangan atau kecemasan.

Ini penting supaya peserta tidak panik ketika berada dalam air.

Aktiviti ini memerlukan peserta menaiki pelampung menyusuri kejernihan Sungai Relau dalam Taman Negara.

Sememangnya, kekayaan alam semulajadi merupakan penawar kepada kekusutan minda dan emosi kepada jiwa yang sering terbeban dengan tugasan harian.

Oleh itu, tanggungjawab memelihara dan melindungi alam sekitar terletak di bahu masyarakat kerana tanpanya, kehidupan tidak bermakna.

RM2.84 juta untuk tangani harga barang mahal di Langkawi


LANGKAWI 14 April - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.84 juta setahun untuk melaksanakan program penyeragaman harga barang keperluan di Langkawi bermula bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, itu merupakan salah satu langkah mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan di sini dan meringankan beban penduduk.

"Kebanyakan barang keperluan di Pulau Langkawi dijual lebih mahal berbanding tanah besar kerana pemborong terpaksa membayar kos pengangkutan dari Jeti Kuala Kedah (Alor Setar) ke Jeti Kuah, Langkawi.


Dasar pemberian air percuma tidak efektif dalam menguruskan air - ADUN DAP


SHAH ALAM 14 April - Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri daripada DAP meminta kerajaan negeri Selangor mengkaji semula pemberian air percuma kepada rakyat negeri ini.

Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) berkata, pemberian air percuma dilihat hanya satu dasar populis dan bukan keputusan yang paling bijaksana dan efisien untuk menguruskan air di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1 bilion untuk membiayai pemberian air percuma 20 meter padu bagi setiap rumah sejak dilancarkan pada 2008 dan dana itu sepatutnya dilaburkan kepada perbelanjaan modal (Capex) bagi menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) ketika ini yang berada pada kadar 35 peratus.


``Penurunan NRW akan menurunkan permintaan air mentah, menjimatkan wang melalui pengurangan kos rawatan dan pengagihan air, selain mengawal tarif air,'' katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Yeo berkata, jika empat tahun lepas kerajaan negeri membelanjakan peruntukan negeri untuk Capex dan membina lebih banyak projek Hybrid Off River Augmentatiom System (Horas), beliau pecaya masalah air ketika ini mungkin tidak akan berlaku.

``Saya harap kerajaan negeri perlu mengkaji semula sama ada perlu terus menggunakan tujuh peratus daripada hasil tahunan negeri untuk membiayai air percuma ini atau melabur dalam Capex.

``Kita sepatutnya mengutamakan jaminan bekalan air kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mahu memberikan air percuma,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang perbekalan tambahan berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada hendak melanjutkan tempoh catuan air di negeri ini memandangkan kenaikan paras air di beberapa empangan.

Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lepas melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Ringgit tidak alami penyusutan ketara

WASHINGTON 13 April - Ringgit tidak mengalami penyusutan nilai yang begitu ketara dan penurunan mata wang itu tidak menyukarkan untuk mengekalkan kadar inflasi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, perkara tersebut tidak menimbulkan kebimbangan kerana menurutnya, ia berlaku akibat daripada penurunan nilai mata wang.

"Ini bukan satu fenomena yang unik kepada kami kerana kami kita pernah mengalaminya sebelum ini," katanya dalam wawancara bersama Bloomberg di sini semalam.

Beberapa pasaran baharu mengalami aliran keluar modal yang menyebabkan berlaku penurunan dalam mata wang mereka, selepas para pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) kira-kira setahun lalu, mula memberi isyarat bahawa mereka akan memulakan program pengurangan pembelian aset.

Bank Pusat AS pula mengumumkan bahawa ia akan mula mengecilkan jumlah pembelian bon pada bulan Disember lalu.

Indeks harga pengguna di Malaysia meningkat 3.5 peratus pada Februari berbanding tahun sebelumnya, dan perkara itu merupakan kadar terpantas dalam tempoh lebih dua setengah tahun, selepas pihak kerajaan mengurangkan subsidi untuk membendung defisit fiskal.

Zeti berkata, inflasi berlaku apabila kerajaan melakukan beberapa penyelarasan harga terhadap barangan.

"Inflasi terjadi disebabkan oleh pelarasan harga daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, ringgit tidak diantarabangsakan sehingga pasaran pertukaran asing dalam negara kembali stabil, dan perubahan besar tidak perlu diperkenalkan pada masa ini kerana bank-bank pusat di seluruh dunia mula menormalkan dasar mereka.


IPTA hasilkan 1,316 kajian penyelidikan sejak 2011

KUALA LUMPUR 25 Mac - Sebanyak 1,316 kajian penyelidikan dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) iaitu dari 2011 hingga 2013.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, bidang kajian tersebut adalah penyelidikan fundamental yang meliputi lapan kluster utama iaitu sains tulen, sains gunaan, sains kesihatan dan klinikal, sains tabii dan warisan negara, teknologi dan kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, sains sosial serta sastera dan sastera ikhtisas.

Beliau berkata, antara dua hasil penyelidikan yang berpotensi tinggi ialah pembangunan vaksin halal oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Finlay dari Cuba dan ciptaan 'BioPro Diesel' oleh Universiti Malaya (UM).

"Hasil dan impak program penyelidikan di bawah Kementerian Pendidikan juga meliputi penghasilan modal insan berpengetahuan tinggi, penerbitan dalam jurnal-jurnal di peringkat dalam negara dan antarabangsa, penghasilan harta intelek, produk untuk dikomersialkan serta jaringan kolaborasi dengan industri tempatan dan luar negara.

"Sehingga Ogos 2013, sebanyak 1,647 modal insan telah dihasilkan. Bagi penerbitan penyelidikan berimpak tinggi pula, sebanyak 3,084 penerbitan telah dihasilkan oleh pensyarah manakala sebanyak 210 harta intelek telah dihasilkan dari geran-geran yang telah diluluskan di bawah RMK-10," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang meminta jumlah kajian penyelidikan yang telah dijalankan oleh pensyarah dan mahasiswa universiti dan sejauh mana hasil penyelidikan ini digunakan bagi membantu pembangunan negara.


Monday 10 March 2014

Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada semua.

Mungkin semua tahu tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 baru-baru ini. Begitu ramai yang prihatin tentang insiden ini, dan tanpa disangka-sangka satu dunia mengikuti perkembangan tentang keberadaan pesawat ini. Pesawat MH370 telah hilang selama lebih kurang 3 hari. Macam-macam spekulasi dan andaian yang telah dibuat oleh segelintir manusia yang prihatin tentang hal ini. Tetapi, di dalam kita bersedih diatas kehilangan MH370, ada segelintir manusia seronok mempermainkan dan memperlekehkan tentang inisden ini. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat kita semua untuk terus berusaha dan terus berdoa agar pesawat ini kembali pulang. Sehinggakan, semua umat Islam yang mengetahui tentang inisden ini mengambil inisiatif untuk membuat solat hajat beramai-ramai.

Bahkan, universiti tempatan juga mengambil peluang ini untuk sama-sama melakukan solat hajat bagi membantu mempermudahkan usaha-usaha pencarian ini. Sehubungan dengan itu, mari lah kita bersama-sama mendoakan agar MH370 akan pulang semula. Kita tidak akan rugi apa-apa pun.